Rahsia dan Nikmat disebalik erti "SABAR"

MAKSUD "sabar" dalam konteks amalan batin ialah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau berontak, resah- gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidak- selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.

Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:

* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang / teguh hati menghadapi cubaan atau musibat.

Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.

Malah, dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya.

Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran itu ialah:

Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadat dengan tenteram dan dapat mencapai kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya. Jika tidak bersabar, tekanan dan ekoran daripada pelbagai kesukaran atau daripada padah pelbagai musibat menjadikan kita keluh-kesah, lalu kehilangan punca kekusutan dan pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat, khususnya. Kadang-kadang sampai tidak dapat meneruskannya.

Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan akhirat).

Antara firman Allah Taala tentang hal ini ialah: "Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi pertunjuk dengan perintah kami ketika mereka bersabar". (QS. 32:24); "Mereka itulah orang- orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya
(syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam kesejahteraan (oleh para malaikat)". (QS. 25:75); "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala mereka tanpa batas". (QS.
39:10);

Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Firman-Nya
(mafhumnya): "Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu
(melakukan taat dan menghadapi musibat), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap siaga dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka).
(QS. 3:200).

Apabila seseorang itu berjaya mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut di atas, maka tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang besar. Orang itu tidak akan terjatuh ke jurang maksiat.

Saiyidina Ali Abu Talib k. a. w pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.

DALAM konteks menghadapi ujian (qadhak) atau musibat atau mala petaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jikalau dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibat itu, atau jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Taala. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.

Sebagai perbandingan tentang hakikat musibat itu, kita katakan ada seorang bapa yang melarang keras anaknya memakan sejenis makanan yang amat digemari oleh anaknya itu. Sebaliknya sang bapa itu memaksa anaknya memakan makanan biasa daripada bahan yang murah, walaupun dia cukup mampu membeli makanan istimewa yang menjadai kegemaran anaknya itu. Apakah penerimaan atau reaksi sang anak terhadap tindakan bapanya itu?

Dan apakah kata kita terhadap sang bapa itu? Mungkin ramai antara kita akan mengatakan sang bapa itu kedekut, bakhil, tidak bertimbangrasa dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak harus menuduh sebarangan kepada sang bapa itu sebelum kita tahu apa tujuan dia bertindak demikian. Kita harus mencari sebab-musababnya.

Inilah tindakan wajar orang yang bersabar. Demikianlah antara cara kita berhadapan dengan keadaan yang tidak menyenangkan kita atau apabila menerima cubaan atau musibat yang ditakdirkan oleh Allah Taala ke atas diri kita. Kita tidak harus terus melenting marah atau kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu dan syaitan, kerana kita tidak tahu rahsia hakikat dan hikmat di sebalik takdir itu.

Bandingannya, katakan kita tahu, tujuan sang bapa tersebut bertindak demikian adalah kerana anaknya itu sedang mengidap suatu penyakit yang mengikut doktor, sang anak itu akan menghadapi bahaya apabila memakan makanan kegemarannya itu.

Sekarang apa kata kita? Tidakkah tuduhan-tuduhan terhadap sang bapa tadi tergugur dengan sendirinya? Dan, sang anak itu pula, apa bila mengetahui tujuan bapanya itu, apakah wajar memarahi bapanya atau berkecil hati atau menyesali tindakan bapanya itu? Sekarang tentulah kita akan mengatakan, sang bapa itu adalah seorang bapa yang bertanggungjawab dan anaknya pula tidak sepatutnya menyesali tindakan bapanya yang demikian. Katakan lagi, sang bapa membawa anaknya itu ke hospital, lalu ditahan di wad hospital itu. Maka itu terpenjaralah sang anak di hospital, terpaksa berpisah dengan keluarga dan kawan-kawanya. Selain itu dia terpaksa minum dan menelan ubat-ubat yang pahit dan disuntik. Rawatan seterunya ialah pembedahan.

Pada zahirnya, sang anak itu menderita terseksa, tetapi apabila diyakini, bahawa 'seksaan' itu adalah untuk menyelamatkannya daripada ancaman dan seksaan sebenar yang berpanjangan daripada penyakit yang dihidapinya itu, maka 'seksaan' sementara itu seharusnya diterima dengan hati terbuka, penuh rela, tenang, dan sabar.

Demikianlah semestinya penerimaan kita terhadap musibat atau ujian drpd Allah Taala. Sebenarnya penyakit itu sendiri merupakan suatu cubaan atau musibah. Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, sejauh mana dan bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.

Dan, kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang lebih besar, khususnya kepada pengidap penyakit itu. Kalau penyakit itu akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Hikmat dan hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan Allah itu, sama ada yang baik ataupun yang buruk, kita tidak tahu.

Sebab itu kita perlu bersabar menerima dan menanggungnya. Kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan, penuh kesabaran; di samping berikhtiar mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai manusia, hamba Allah.

Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibat itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian.

Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.

Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab.

Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan. Wallahu a'lam.

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda: " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

KEKUATAN HATI

Assalamualaikum wbt. Satu diantara kekuatan yang Allah kurniakan kepada umat islam ialah zikrullah. Saya merasakan orang-orang islam pada hari ini tidak begitu memanafaatkan aktiviti yang amat penting ini. Dalam kitab sohih Muslim, Nabi saw pernah bersabda " Sabbaqal mufarradun " yang bermaksud "Telah mendahului mereka yang tersendiri ". Lantas Nabi memuji golongan ini. Golongan yang di gelar oleh baginda sebagai Al mufarradun. Golongan yang tersendiri. Kata Nabi mereka mendahului orang-orang lain.

Lantas para sahabat ra bertanya kepada baginda. Siapakah sebenarnya golongan Al mufarradun ini. Maka Nabi menjawab mereka ialah golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah swt. Itulah golongan istimewa yang mendapat pujian. Lantas di zaman dahulu khususnya di zaman Nabi , para sahabat dan di peringkat awal islam, zikir terutamanya zikir dengan hati ini amat diutamakan. Sebab itu ketika itu umat islam berjiwa tenang. Umat islam sentiasa di kurniakan ilham sehingga mereka mampu menghadapi masalah-masalah yang besar dan kemudiannya dapat menewaskan musuh mereka dan menegakkan empayar islam.

Mereka dapat melakukan demikian kerana mereka memperolehi kekuatan dari dalam bukan dari luar. Mereka tidak mengadu tentang orang lain berhubung dengan kesilapan diri sendiri tidak seperti kita orang islam pada hari ini. Jika berlaku apa-apa masalah pada umat islam kita dengan cepat salahkan barat, salahkan yahudi, salahkan yang itu dan ini tetapi tidak pernah salahkan diri kita sendiri yang cuai, leka, alpa, yang tidur banyak dan seumpamanya. Semuanya orang lain salah dan kita tidak pernah bersalah. Umat dahulu mereka banyak bermuhasabah tentang diri mereka sendiri. Ia benar kadangkala musuh pun memainkan peranan untuk menghancurkan islam. Itu tidak boleh kita nafikan, tetapi umat dahulu, mereka lebih banyak memberikan tumpuan tentang dalaman, diri dan kecuaian mereka sebab mereka menyedari jika mereka terus menerus cuai, mereka akan kalah.

Justeru mereka banyak berzikir, muhasabah diri sendiri, perbaikki diri mereka, akhirnya alhamdulillah Allah memberikan pertolongan dan bantuan kepada mereka. Seperti apa yang saya katakan tadi satu diantara aktiviti yang amat mereka utamakan ialah zikrullah. Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan yang di muliakan, jika kita benar-benar berzikir, memberi tumpuan kepada zikir sebagai contoh kita berkata Allah, ataupun subhanallah, mengulang-ulanginya secara berterusan mungkin sehari memakan masa 8 - 10 minit tetapi dengan penuh khusyuk. Yang paling penting yang hendak ditekankan pada pagi ini ialah zikir dengan penuh khusyuk. Bukan zikir dengan lisan tetapi mata terbeliak melihat kesana kesini. Bukan zikir dengan lidah tetapi hati menerawang kesana sini, tetapi dengan penuh khusyuk,masyaallah otak kita akan menjadi lebih cemerlang dan kemudiannya seluruh badan kita menjadi lebih baik.

Mengikut satu kajian yang di buat oleh seorang Professor daripada Harvard Medical School iaitu Professor Herbert Benson. Mereka yang meditasi, ini bahasa orang barat. Mereka tidak faham zikrullah. Mereka hanya faham meditation. Tidak mengapa sebab zikrullah yang di lakukan dengan khusyuk menyamai dan melebihi meditation. Ada yang sama tetapi sudah pasti ada yang berbeza dan malah lebih. Tapi kita sekadar nak berbincang bab meditasi untuk kita faham perubahan biologi yang berlaku dalam diri kita ketika kita berzikrullah dengan penuh khusyuk. Maka berkata Dr. Benson mereka yang bermeditasi secara mendalam, mereka sebenarnya sedang menghilangkan tekanan pada diri mereka sebab ketika meditasi yang sedang mereka lakukan otak menggunakan 17 % lebih rendah oksigen daripada biasa. Ini satu yang cukup luarbiasa. Denyutan jantung mereka juga lebih rendah daripada orang lain. Maksudnya tekanan pada jantung tidak ujud. Ketiganya otak mengeluarkan satu gelombang, gelombangnya bernama Gelombang Theta ataupun Theta Wave.

Kebiasaan jika kita sedang berfikir sekarang, kita sedang mengeluarkan Gelombang Beta, tetapi jika kita sedang berzikir dengan penuh khusyuk dan ketika itu kita melupakan kesemua apa yang berlaku diluar sana, itu yang kita maksudkan zikir yang khusyuk. Ketika itu otak kita mengeluarkan gelombang baru yang bernama Theta. Gelombang inilah gelombang ketenangan. mengikut pakar-pakar yang mengkaji ketika itulah sistem badan kita berubah. Disamping otak kita berubah dan mendapat kekuatan baru, badan kita keseluruhannya juga berubah. Antara kajian yang menarik ialah, kajian yang berkaitan dengan sistem Imiul atau sistem pertahanan badan. Mereka dapati golongan yang banyak bermeditasi mereka sebenarnya mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih mantap daripada orang lain terutama orang yang sentiasa sibuk kesana kemari dan sentiasa sibuk hendak mengambil tahu tentang orang lain. Mereka hidup dengan jiwa yang tidak pernah tenang dan hidup dalam keadaan penuh tekanan, sistem pertahanan mereka rendah dan mereka senang di timpa penyakit. Sebaliknya orang yang banyak bermeditasi sistem pertahanan mereka mantap. Mereka jarang mendapat penyakit.

Ada satu kajian bagi wanita yang banyak berzikrullah atau bermediatasi, mereka mengeluarkan satu bahan khas yang dapat membunuh sel-sel tumbuhan yang wujud di payudara mereka. Ini satu kajian khas dan penemuannya juga kita anggap special. Ketika bermeditasi darah mengeluarkan satu bahan khas yang dapat membunuh sel-sel tumbuhan dalam payudara. Itulah kehebatan yang ada pada meditasi dan zikrullah yang dilakukan dengan penuh khusyuk ialah meditasi di tahap yang tinggi.

Saya mengatakan tadi mereka yang berzikrullah menyamai orang-orang yang bermeditasi dan juga mengatasi golongan ini. Sama sebab perubahan badan yang berlaku tadi akan dirasai oleh orang bermeditasi dan zikrullah dengan khusyuk. Dimana lebihnya. Lebih kerana mereka akan mendapat ilham special. Ilham ini berpandukan janji Allah yang berbunyi " Waman ja hadu fiina lanah diyannakum subulana" " Orang yang bersungguh-sungguh membersihkan dirinya melawan hawa nafsunya, kami yakni Allah akan tunjukkan jalan-jalan kami kepada mereka. Itu yang lebih, dengan cara demikian mereka mendapat petunjuk, ilham dan juga jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi setiap hari.

Lantas tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan, marilah kita sama-sama mendekati Allah dengan banyak berzikir dan sudah pastinya zikir yang paling pokok ialah solat yang dilakukan dengan khusyuk , jangan abaikannya kerana jika dilakukan kesemuanya ini dengan khusyuk, kita akan menjadi insan yang special, kita akan mendapat banyak faedah dalam diri kita sendiri dan kita akan mendapat ilham dan petunjuk daripada Allah. Jangan abaikan kekuatan ini dan kemudian mencari kekuatan yang lain. Inilah kekuatan yang paling asas yang perlu kita manafatkan insyaallah.

Allah Maha Pengasih

Sepasang suami isteri yang sudah menikah selama 7 tahun dan memiliki 3 orang anak, terlibat dalam sebuah pertengkaran hebat.

Begitu hebatnya pertengkaran mereka, sampai akhirnya mereka memutuskan untuk bercerai, mengakhiri kehidupan rumah tangga mereka secepat mungkin.

Mereka menemui seorang peguam, untuk melangsungkan perundingan pembagian harta diantara mereka, perundingan berlangsung lancar, namun akhirnya sebagian besar masalah terselesaikan, baik tanah, rumah, dan semua aset harta mereka dapat dibagi dan mencapai kepuasan kedua belah pihak.

Hanya satu hal tidak ditemukan jalan keluarnya, yaitu mengenai pembagian anak [jangan lupa anak mereka tiga orang], baik si suami mahupun si isteri sama sama ingin mengasuh 2 anak, tidak ada yang mahu mengalah, dan anak tidak mungkin dibelah dua seperti pada Zaman Sulaiman dulu.

Akhirnya mereka menemui seorang tokoh agama, meminta nasehat bagaimana jalan keluar yang harus ditempuh.

Sang Imam akhirnya memberika jalan keluar yang bijak, yaitu mereka diminta menunda perceraiannya selama satu tahun, mereka harus menambah satu orang anak selama satu tahun, bila Tuhan mengizinkan perceraian mereka, Tuhan akan memberikan tambahan satu anak, total menjadi 4 anak, sehingga mudah untuk dibagi diantara mereka berdua.

Karena si suami dan si isteri sangat serius untuk bercerai, mereka berusaha keras untuk menambah anak, dan akhirnya mereka berhasil.

Setahun kemudian, ketika Sang Imam berjalan jalan, beliau bertemu dengan pasangan suami isteri ini, sedang bergandengan tangan dengan mesra, sehingga Sang Imam bertanya, : "Apakah Kalian tidak berhasil menambah anak sehingga kalian batal bercerai?".

Sang Suami lalu menjawab : "Tuhan maha pengasih, Dia memberikan kami tambahan anak, tapi sekaligus juga memberikan isyarat agar kami saling memaafkan dan saling mengasihi, kami memutuskan untuk tidak bercerai".

"Bagaimana Tuhan memberikan isyaratNya?", tanya Sang Imam.

"Tuhan memberikan kami tambahan anak, bukan satu anak, tapi dua anak, anak kembar !!".

Beberapa hikmah:

1. Menunda tindakan negatif sering bermanfaat, apalagi ketika seseorang sedang dikuasai emosi. Ada baiknya jika kita sedang marah kita menunda sesuatu yang ingin kita lakukan. Betapa banyak penghuni penjara yang menyesal: mengapa ketika marah memukuli isteri/anak/dsb sampai tewas....

2. Mampu mengendalikan marah [emosi] adalah kunci kebaikan, sehingga nabi saw menekankan laa taghdhab [jangan marah] kepada sahabatnya.

3. Kisah diatas menunjukkan kasih sayang Allah, tetapi ada yang lebih baik daripada kisah diatas yaitu pasangan suami isteri yang selalu berhasil meredam pertengkaran mereka. Mungkin keluar rumah meninggalkan isteri/suami yang marah untuk sebentar kemudian kembali membawa buah tangan/peralatan baru kesukaannya akan membuatnya tersenyum, meminta maaf dan berfikir betapa baiknya suaminya/isterinya.

4. Pertengkaran itu lumrah rumah tangga. Dengan pertengkaranlah keharmonisan semakin terasa nikmat. Orang bijaksana akan menikmati pertengkaran dan masa-masa setelahnya dengan tetap mengendalikan suasana agar tidak sampai keluar dari sunnah Nabi saw. Karena pertengkaran itu seperti api: sedikitnya bermanfaat tetapi besar dan luasnya membinasakan.