SEPANG 17 Julai - Industri penerbangan negara masih berhadapan dengan masalah kekurangan jurutera dan juruteknik tempatan sekali gus gagal menampung kepesatan sektor itu di negara ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berdasarkan angka terkini, jumlah keseluruhan jurutera dan juruteknik tempatan yang terlibat di dalam industri itu adalah sebanyak 40,000 orang.
Sedangkan, katanya, keperluan semasa negara hingga 2020 terhadap tenaga mahir berkenaan adalah antara 55,000 hingga 60,000 orang.
''Secara kasarnya kita memerlukan 15,000 lagi tenaga mahir di kalangan rakyat tempatan bagi menampung permintaan pihak industri. Angka itu adalah unjuran sehingga 2020.
''Bagi pihak Mara kita berusaha mengatasi kekurangan tersebut iaitu dengan memberi tumpuan khusus kepada usaha menambah bilangan tenaga mahir dalam bidang penerbangan melalui kursus yang kami tawarkan di UniKL kampus Malaysia Institute of Aviation Technology (MIAT) di sini,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Minggu Silaturahim UniKL MIAT Sesi Julai 2009 di Dengkil dekat sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abd. Jabar Che Nai; Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UniKL, Datuk Mohamad Rais Zainuddin.
Mohd. Shafie berkata, kekurangan yang berlaku itu juga menyebabkan negara sehingga kini terpaksa bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara.
''Hingga tahun ini UniKL MIAT telah mengeluarkan lebih 1,000 tenaga mahir penerbangan dengan purata 300 bagi setiap sesi pengambilan.
''Walaupun tidak banyak kita akan cuba meningkatkan bilangan mengikut keperluan. Setakat ini permintaan industri terhadap pelajar-pelajar kita amat tinggi.
''Pasaran kerja untuk mereka alhamdulillah tidak ada masalah kerana bidang ini memang ada permintaan sama ada dalam sektor swasta mahu pun awam,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan prasarana bagi tujuan pembelajaran di UniKL MIAT supaya para pelajar lebih terdedah dengan teknologi terkini.
''Kita mahu melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan matlamat ini boleh dicapai sekiranya mereka terdedah dengan sistem pembelajaran yang lebih moden,'' katanya lagi.
No comments:
Post a Comment